Isnin, 24 Januari 2011

Post Mortem Program IWK Taman Nilam

.
Taklimat oleh Pegawai IWK
KRT Taman Nilam menjemput semua AJK dan wakil KRT yang terlibat pada program IWK bersama penduduk pada 13 Nov. 2010 untuk jamuan dan taklimat terkini servis pengosongan tangki septik oleh IWK. Majlis diadakan pada hari Isnin 24 Januari 2011 pada jam 9.00 malam di Dewan Orang Ramai Taman Nilam.

KRT Taman Intan diwakili oleh Pengerusi dan Bendahari.

Menurut perangkaan yang disampaikan oleh pihak IWK setakat ini hanya 27% kerja pengosongan tangki septik dapat dijalankan semenjak program tersebut dilancarklan. Sebanyak 164 buah rumah tidak mahukan servis yang ditawarkan, manakala yang lain disebabkan tiada akses ketangki kerana rumah telah diubahsuai dan tangki ditutup dan disimin. Terdapat juga halangan di jalan belakang rumah oleh longgokan bahan  binaan dan struktur lain.

Pihak IWK mengharapkan agar wakil KRT dapat menyampaikan pentingnya tangki dikosongkan mengikut jadual yang ditetapkan. Kadar caj yang dikenakan hanyalah RM6.00 satu bulan dan Rm2.00 sebulan untuk rumah kos rendah.
.

Khamis, 20 Januari 2011

Thaipusam

.
Selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua warga India (Tamil) di Taman Intan dan seluruh rakyat Malaysia yang menyambut Thaipusam pada Khamis 20 Januari 2011. Walaupun Kedah tidak menisytiharkan cuti umum seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor tetapi sambutan Tahipusam tidak kurang meriahnya. Perarakan kavadi di buat setiap tahun di Sungai Petani. 

Untuk maklumat, Thaipusam disambut pada bulan 'Thai' dalam kalender India ketika bulan penuh. Perayaan ini disambut sempena Dewa Murugan diberi lembing 'vel' untuk menghapuskan dewa jahat bernama 'Soorapadman'. Penganut Hindu membawa kavadi sebagai simbol untuk memohon pertolongan dari Dewa Murugan.

Dikatakan sambutan Thaipusam di Malaysia lebih hebat dan lebih meriah dari India, Singapura dan kepulauan Mauritius dimana terdapat komuniti kaum India yang ramai. Perayaan Thaipusam di Malaysia menjadi daya tarikan pelancong.
.

Ahad, 16 Januari 2011

Hari Keputeraan Sultan Kedah ke 83

.

Semoga Negeri Kedah terus aman, bahagia dan makmur di bawah pemerintahan Sultan.
.

Sabtu, 15 Januari 2011

Majlis Anugerah Kualiti Tahun 2010

.
JPNIN Kedah menganjurkan 'Majlis Anugerah Kualiti Tahun 2010' untuk KRT, SRS, Tabika seluruh Negeri Kedah pada :-

Tarikh :  15 Januari 2010
Masa :    2.00 petang
Venue :   Hotel SP Inn, Sungai Petani
Pengarah JPNIN Negeri Kedah menyampaikan ucapan panjang mengenai KRT, SRS dan Tabika Perpaduan.

Penghargaan dalam bentuk sijil dan wang grant tambahan diberikan kepada
  1. KRT
  2. SRS
  3. Tabika Perpaduan
  4. Guru dan Penolong Guru
yang berjaya dalam pengurusan dan organisasi dari setiap daerah.

.

Selamat Menyambut Pesta Ponggal

.
KRT Taman Intan mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Ponggal kepada penduduk Taman Intan yang beragama Hindu pada tahun ini.

Susu yang melimpah bermaksud hidup yang
makmur, sejahtera dan aman
Perayaan Ponggal ada kaitan dengan pesta menuai padi disambut sejak turun menurun di Negara Tamil Naidu, India. Kini disambut oleh kaum India beragama Hindu diseluruh dunia termasuk Malaysia pada pertengahan bulan Januari setiap tahun sempena dengan musim menuai padi
Perayaan in disambut selama empat hari :
Hari Pertama ialah perayaan Bhogidimana masyarakat India akan ke kuil untuk bersembahyang.
Hari Kedua memasak beras dan susu lembu dalam belanga tanah untuk meraikan Dewa Matahari.
Hari Ketiga ialah Maadhu Ponggal iaitu memuliakan lembu dengan memandikan dan menghias lembu dan diarak keliling kampong.
Hari Keempat ialah kanni ponggal bermaksud memberi penghormatan kepada anak perempuan yang belum berkahwin.

Jumaat, 14 Januari 2011

Jamuan untuk AJK KRT Taman Intan

.
Jamuan untuk Ahli Jawatankuasa KRT Taman Intan yang ditangguhkan dari 21 hb Disember 2010 diadakan petang ini.

Walaupun ada permintaan untuk menunda lagi tarikh jamuan tersebut tetapi ramai AJK berpendapat untuk meneruskan. Beberapa AJK tidak dapat hadir kerana sebab sebab yang tidak dapat dielakkan. 

Jamuan ini bertujuan sebagai penghargaan kepada AJK yang telah memberikan khidmat, sumbangan, tenaga serta usaha secara sukarela kepada KRT.

Semasa jamuan tersebut KRT Taman Intan menyampaikan wang sebanyak RM100.00 kepada En. Ahmad Mokhtar sebagai sumbangan kepada arwah Che Mahani yang meninggal dunia pada penghujung tahun 2010. Puan Che Mahani adalah bekas AJK KRT sejak diwujudkan.

Juga disampaikan wang sebanyak RM100.00 kepada Pengerusi Kumpulan  Tai Chi Taman Intan yang disumbangkan oleh Indah Water Konsortium (IWK) atas penghargaan mengadakan domostrasi Tai Chi semasa Program Mesra IWK Bersama Penduduk yang diadakan pada 13 November 2010 di Taman Nilam, Sungai Petani.





Isnin, 10 Januari 2011

Papan tanda KRT Taman Intan

.
JPNIN Kuala Muda telah menggantikan papan tanda Kawasan Rukun Tetangga Taman Intan pada 28 December 2010 bertujuan untuk penyelaraskan. Semua papan tanda KRT lain juga telah digantikan.

Kontraktor yang bertanggungjawab menjalankan pemasangan papan tanda tersebut telah memanggil wakil KRT ke tapak untuk menentukan lokasi dan posisi pemasangan papan tanda baru tersebut.

Papan tanda tersebut telah dipasang pada lokasi yang dipersetujui tetapi apabila pemasangan siap didapati ia tidak mengikut hala yang sepatutnya. Banyak rungutan dan teguran yang diterima dari penduduk serta orang ramai tentang papan tanda tersebut. Papan tanda tersebut dipasang selari dengan arah hala jalan. Sepatutnya ia dipasang menghadap lalulintas menghala ke Taman Intan.

Diharap pihak bertanggungjawab dapat membetulkan keadaan dengan kadar segera dan dapat menepati tujuan papan tanda dipasang.



.

Sabtu, 8 Januari 2011

Masjid di Cerobohi Lagi

.
Semasa menghadiri kenduri kesukuran disebuah rumah di Jalan Intan tengah hari tadi, perbualan warga Taman Intan yang menghadiri kenduri tersebut berkisar kepada kemalangan yang berlaku dipersimpangan tidak jauh dari rumah kenduri dan juga cerita masjid Taman Intan dimasuki pencuri.

Kejadian masjid dimasuki pencuri berlaku tengah malam atau sebelum subuh pagi tadi. Apabila jemaah datang untuk solat subuh didapati ketiga-tiga pintu utama masjid terbuka dan peti besi wang kutipan derma diheret keluar dari dalam masjid. Tiada wang didalam peti tersebut kerana telah dikeluarkan. Peti besi (safety box) dibeli tidak sampai satu bulan lalu adalah untuk mengelakkan kecurian wang kutipan dan derma jemaah, tetapi tidak berkesan untuk menghalang dari dicuri.

Masjid telah beberapa kali di masuki pencuri sebelum ini. Kotak kotak wang yang diedarkan untuk derma dan kutipan jemaah beberapa kali dilarikan ketika solat Jumaat dan beberapa unit kipas berdiri juga dicuri.

Warga Taman Intan amat bersedih dan kesal keatas apa yang berlaku.

Jumaat, 7 Januari 2011

Lagi Kemalangan di Persimpangan

.
Sebentar tadi berlaku kemalangan yang agak teruk di persimpangan jalan Taman Intan - Taman Emas Suria menuju ke Lencongan Barat. Kemalangan berlaku lebih kurang jam 9.30 malam. Seperti biasa pemandu yang terlibat menyatakan tidak tahu atau tidak menyedari kenderaan dari arah Lencongan Barat menghala ke Taman Intan perlu berhenti dan memberi laluan. 

Sering jalan yang agak gelap dan pokok besar di kiri kanan jalan dijadikan alasan. Manakala tanda 'Berhenti' terlindung oleh pokok dan hanya boleh kelihatan apabila terlalu hampir pada persimpangan. Pemandu yang tidak biasa atau tidak pernah  melalui jalan ini sering menghadapi masalah ini, melainkan mengekori kenderaan lain menghala arah yang sama.

Walau apa pun pemandu mesti beringat ketika melalui jalan didalam taman perumahan dan hendaklah mengurangkan hadlaju di bawah 60 km/j. Kelajuan ini mungkin membolehkan pemandu bertindak sekiranya terdapat masalah.

Kemalangan kerap berlaku di lokasi ini tetapi yang berlaku tadi adalah yang terburuk kerana penumpang mendapat kecedaran apabila kepala terhentak ke cermin hadapan. Penumpang yang cedera terpaksa dibawa ke hospital menggunakan ambulan.


.

Sabtu, 1 Januari 2011

Kereta di pecahkan

Tiga biji kereta jemaah Masjid Taman Intan dipecahkan semasa mereka sedang sembahyang Isyak di Masjid Taman Intan malam tadi. Kereta tersebut di letakkan di perkarangan hadapan masjid.

Tempat letak kereta agak jauh dari jalan Taman Intan dan perkarangan masjid agak gelap memudahkan lagi jenayah tersebut dilakukan. Jemaah yang sedang bersembahyang tidak sedar kejadian tersebut berlaku, hanya disedari apabila hendak pulang.

Tiada apa barang berharga yang ada didalam kereta-kereta tersebut, hanyalah beberapa ringgit wang siling yang diletakkan didalam kotak habuk rokok. Tuan punya terpaksa mengeluarkan  wang melebihi satu ratus ringgit untuk menggantikan cermin tingkap yang dipecahkan.

Adalah difikirkan wajar untuk AJK masjid menimbangkan pemasangan lampu limpah dihadapan masjid untuk mengelakkan kejadian sedemikian berulang. Lebih sesuai lagi untuk memasang Kamera Litar Tertutup CCTV yang dapat merakam sebarang perkara yang berlaku didalam dan dikawasan luar masjid,  jika kewangan tidak menjadi masalah.

Ada juga pihak pihak yang mengatakan pemasangan tembok penuh sebagai pagar masjid tidak praktikal, kerana menghalang penglihatan orang kepada perkara yang tidak diingin berlaku didalam kawasan masjid. Juga tembok itu juga boleh dijadikan tempat bersembunyi orang orang yang berniat jahat terhadap jemaah.
.

Selamat Tahun Baru 2011

.
KRT Taman Intan mengucapkan 'Selamat Menyambut Tahun 2011' kepada semua warga/penduduk Taman Intan.