Ahad, 17 Januari 2010

Memasak Bubur Asyura

Jiran Wanita KRT Taman Intan bersama sama dengan ahli Wanita Umno Taman Intan mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura pada hari Sabtu 16 Januari 2010 bertempat di Dewan Sri Intan, Taman Intan. Aktiviti dilakukan setiap tahun dan telah menjadi aktivit tetap Jiran Wanita.

Aktiviti dimulakan pada jam 9.00 pagi. Kehadiran amatlah menggalakkan walaupun terdapat pandangan yang ianya boleh ditingkatkan lagi jika langkah dan suasana diubah. Yang membanggakan ialah kehadiran ahli KRT Taman Intan yang bukan beragama Islam yang turut membantu dalam penyediaan bubur asyura. Kelihatan ahli berbangsa Cina dan India bersama sama tanpa merasakan sebarang halangan untuk aktiviti ini. Ahli KRT yang hadir dapat dikenali melalui pakaian T-Shirt berwarna kuning.

Selain dari memasak bubur, ada juga disediakan makanan nasi tengahari. Walaupun menu yang simple iaitu gulai kari ikan temenung, ikan goreng dan ulam mentah, ianya amat berselera terutama apabila makan semeja dengan rakan yang lain.

Dua periuk besar bubur dimasak dan diagihkan kepada mereka yang hadir. Semuanya selesai sebelum pukul 1.00 tengahari. Diharapkan di tahun depan lebih ramai ahli dapat hadir untuk menjayakan aktiviti ini.





Sedikit nota dari internet:-
Majoriti umat Islam Malaysia tahu mengenai bubur Asyura. Ada yang menyatakan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas yang terdiri daripada sepuluh jenis bahan termasuk tepung, ubi, pelbagai kekacang dan sebagainya. Apa yang pasti bubur daripada 10 bahan masakan. Kalau lebih atau kurang, itu bukan bubur Asyura. Jenis rasanya mungkin juga berbeza di antara satu negeri dengan negeri lain.
Ada anggapan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas sempena 10 Muharam. Kebetulan perkataan Asyura diambil daripada bahasa Arab iaitu Asyarah yang bermakna 10. Maka ramailah yang bergotong-royong atau bersendirian menyediakan bubur Asyura pada tanggal 10 Muharam.
Ia adalah satu aktiviti masyarakat yang harmoni.
Hakikatnya, bubur Asyura bukanlah satu amalan ibadah yang wajib. Ia hanya sekadar adat tradisi yang tidak mempunyai apa-apa tegahan dalam agama. Cuma ada juga yang terlalu memperbesarkan bubur Asyura hingga seolah-olah ia satu perkara wajib pula.


HARI KEPUTRAAN SULTAN KEDAH

KRT Taman Intan mengucapkan

DAULAT TUANKU
Merafak Sembah Setinggi Tahniah 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Al Sultan Almu'tasima Billahi Muhibbudin
Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

Sultan Kedah Darul Aman

Sempena Menyambut Hari Keputraan Baginda yang ke 82 pada 17 Januari 2010

SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU


Rabu, 13 Januari 2010

Mesyuarat AJK Jiran Warga Emas

Mesyuarat pertama AJK Jiran Warga Emas untuk tahun 2010 bermula pada jam 5.30 petang Rabu 13 Januari 2010 diadakan di Dewan Sri Intan, Taman Intan. Seramai sepuluh AJK hadir pada mesyuarat tersebut walaupun Pengerusi En Haris Fadzillah bin Mustafa tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur. Encik Ismail Hashim tidak dapat hadir kerana keuzuran dan mendapatkan rawatan hospital, Puan AinonMd Deris juga berada di Kuala Lumpur manakala tempat Puan Mahani Hashim telah digantikan dengan ahli baru.

Mesyuarat di pengerusikan oleh Setiausaha Jiran Warga Emas. Puan Haminah binti Hj Rejab.  Pengerusi mesyuarat menyampai permohonan maaf dari Pengerusi Jiran Warga Emas kerana tidak dapat bersama. Selepas itu Pengerusi KRT Induk menyampaikan ucapan pendek dan menitikberatkan penglibatan semua ahli dalam kegiatan dan aktiviti KRT. Pengerusi KRT juga menggalakkan AJK mengajak ahli ahli lain untuk menyertai AJK terutama dari kaum Cina dan India.

Perlantikan baru AJK untuk tahun 2010 adalah agenda pertama. Dicadangkan agar jawatankuasa lama dikekalkan dan diterima sebulat suara.

Antara aktiviti yang dirancang oleh Jiran Warga Emas termasuk :-

1.  Pertandingan Laman Cantik

2.  Hari Kesihatan - yang dijadualkan selepas Hari Raya Puasa

3.  Ziarah kepada warga emas yang sakit di Taman Intan

4.  Aktiviti Tetap termasuk berjogging, Wai Tan Kung, Tai Chi dan Lion Dance, berjalan kaki, berbasikal.

5.  Lawatan. Akan diadakan bersama dengan Jiran Wanita.

Beberapa AJK menyuarakan masalah masakini yang dihadapi oleh Taman Intan iaitu kekerapan mengutip sampah oleh MPSP. Difahamkan kerja kerja memugut sampah telah diswatakan. Kebelakangan ini didapati sampah yang berlungguk di luar tong sampah sering dibakar dan menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk.

Juga dipohon untuk mengadakan kursus komputer untuk warga emas terutama untuk melayari internet.

Sebelum bersurai semua AJK dijemput untuk menghadiri majlis bubur Asyura anjuran bersama Jiran Wanita dan Wanita Umno yang akan diadakan pada hari Sabtu 16 Januari 2010 di Dewan Sri Intan mulai jam 09.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Rabu, 6 Januari 2010

Mesyuarat AJK Jiran Wanita

Petang ini Jiran Wanita KRT Taman Intan mengadakan mesyuarat pertama untuk tahun 2010 pada jam 5.00 petang. Mesyuarat diadakan lokasi biasa iaitu di dewan Sri Intan. Agenda terperinci akan dihantar ke AJK Induk dalam masa terdekat.

Satu perkara yang agak menyedihkan ialah berita salah seorang AJK Induk dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang sejak lima hari yang lepas. Beliau telah lama mengidap penyakit dan kerap berulang alik ke hospital. Kadangkala setiap bulan beliau akan mendapatkan rawatan.

Akhir sekali bersama beliau adalah pada jamuan akhir tahun pada 20 Disember 2009 yang lalu. Dimasa itu beliau kelihatan sihat.

AJK Jiran Wanita bercadang untuk menziarahi beliau pada 07 Jan 2010. Sekurang kurang enam orang akan menziarahi beliau di hospital dan akan bertolak dari taman intan pada jam 5.00 petang.

KRT Taman Intan mendoakan agar beliau segera sembuh.

Jumaat, 1 Januari 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Semua AJK KRT Taman Intan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua warga Taman Intan dan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Memandang kebelakang pada tahun 2009, tidak banyak aktiviti yang dapat diadakan dan dilakukan oleh KRT Taman Intan. Ada beberapa sebab ini berlaku. Beberapa Ahli Jawatan Kuasa KRT menghidapi penyakit dan ada juga yang terpaksa berada diluar kawasan untuk tempuh yang agak lama.  

Walaubagaimana pun Jiran Wanita dapat melaksanakan berberapa aktiviti seperti kursus memasak dengan kerjasama Kolej Komuniti, mengadakan lawatan sambil belajar ke Perlis dan ceramah untuk. pelajar yang menduduki pepereksaan PMR dan SPM untuk tahun 2009. Satu aktiviti yang dirancang bersama dengan Prostanita dan AADK iaitu satu ceramah untuk remaja berkaitan dengan gelaja HIV dan Aids terpaksa ditangguhkan kerana masalah teknikal dengan pihak sekolah dimana ceramah sepatutnya diadakan. 

Jiran Emas berjaya mengadakan aktiviti lawatan ke Geo-park Langkawi. Satu pengalaman yang amat berguna dan berharga. Hanya seramai 15 orang yang dapat menyertai lawatan tersebut disebabkan masa dan juga kos yang agak tinggi. Aktiviti tahunan Jiran Emas iaitu Hari Kesihatan tidak dapat diadakan dan ditundak kepada tahun 2010. 

Aktiviti harian lain untuk penduduk seperti berjalan kaki, senaman Wai Tan Kung, Tai Chi masih diteruskan. Kurang dari lima orang penduduk yang masih aktif menaiki bukit di Taman Semarak pada waktu pagi atau petang. 

Satu aktiviti Jiran Remaja berjaya diadakan selepas peperiksaan akhir tahun  2009. Perlawanan futsal diadakan di padang Taman Intan pada bulan November dengan sambutan yang amat menggalakkan dari remaja Taman Intan. Lebih membanggakan ialah penyertaan dua pasukan remaja perempuan disamping tiga pasukan remaja lelaki. Diharapkan dimasa depan acara seperti ini akan dapat diadakan dengan penyertaan lebih banyak pasukan. 

Aktiviti KRT Taman Intan ditutup dengan jamuan makan malam sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua AJK yang telah menyumbang tenaga dan idea disepanjang tahun 2009. 

Semoga untuk tahun 2010 lebih banyak aktiviti akan dapat dilaksanakan. Tumpuan akan diberikan kepada aktiviti untuk remaja-remaja taman ini. Beberapa aktiviti dirancang termasuk kayuhan basikal dan berkelah di Kawasan Rekreasi Tupah, mendaki Gunung Jerai dan perlawanan futsal in-door.

AJK juga berharap lebih ramai penduduk Taman Intan akan dapat tampil dan bersama-sama dalam aktiviti yang dianjurkan pada tahun 2010 ini. Janganlah beranggapan ia tidak penting atau membuang masa. Kerja kerja sukarela yang dibuat ini adalah untuk tujuan menyatu padu kan semua warga taman.


Juga diharapkan muka muka baru dapat menyertai AJK dalam rombakan baru untuk Tahun 2011 hingga 2012 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini. 

SELAMAT TAHUN BARU 2010.