Jumaat, 1 Januari 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Semua AJK KRT Taman Intan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua warga Taman Intan dan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Memandang kebelakang pada tahun 2009, tidak banyak aktiviti yang dapat diadakan dan dilakukan oleh KRT Taman Intan. Ada beberapa sebab ini berlaku. Beberapa Ahli Jawatan Kuasa KRT menghidapi penyakit dan ada juga yang terpaksa berada diluar kawasan untuk tempuh yang agak lama.  

Walaubagaimana pun Jiran Wanita dapat melaksanakan berberapa aktiviti seperti kursus memasak dengan kerjasama Kolej Komuniti, mengadakan lawatan sambil belajar ke Perlis dan ceramah untuk. pelajar yang menduduki pepereksaan PMR dan SPM untuk tahun 2009. Satu aktiviti yang dirancang bersama dengan Prostanita dan AADK iaitu satu ceramah untuk remaja berkaitan dengan gelaja HIV dan Aids terpaksa ditangguhkan kerana masalah teknikal dengan pihak sekolah dimana ceramah sepatutnya diadakan. 

Jiran Emas berjaya mengadakan aktiviti lawatan ke Geo-park Langkawi. Satu pengalaman yang amat berguna dan berharga. Hanya seramai 15 orang yang dapat menyertai lawatan tersebut disebabkan masa dan juga kos yang agak tinggi. Aktiviti tahunan Jiran Emas iaitu Hari Kesihatan tidak dapat diadakan dan ditundak kepada tahun 2010. 

Aktiviti harian lain untuk penduduk seperti berjalan kaki, senaman Wai Tan Kung, Tai Chi masih diteruskan. Kurang dari lima orang penduduk yang masih aktif menaiki bukit di Taman Semarak pada waktu pagi atau petang. 

Satu aktiviti Jiran Remaja berjaya diadakan selepas peperiksaan akhir tahun  2009. Perlawanan futsal diadakan di padang Taman Intan pada bulan November dengan sambutan yang amat menggalakkan dari remaja Taman Intan. Lebih membanggakan ialah penyertaan dua pasukan remaja perempuan disamping tiga pasukan remaja lelaki. Diharapkan dimasa depan acara seperti ini akan dapat diadakan dengan penyertaan lebih banyak pasukan. 

Aktiviti KRT Taman Intan ditutup dengan jamuan makan malam sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua AJK yang telah menyumbang tenaga dan idea disepanjang tahun 2009. 

Semoga untuk tahun 2010 lebih banyak aktiviti akan dapat dilaksanakan. Tumpuan akan diberikan kepada aktiviti untuk remaja-remaja taman ini. Beberapa aktiviti dirancang termasuk kayuhan basikal dan berkelah di Kawasan Rekreasi Tupah, mendaki Gunung Jerai dan perlawanan futsal in-door.

AJK juga berharap lebih ramai penduduk Taman Intan akan dapat tampil dan bersama-sama dalam aktiviti yang dianjurkan pada tahun 2010 ini. Janganlah beranggapan ia tidak penting atau membuang masa. Kerja kerja sukarela yang dibuat ini adalah untuk tujuan menyatu padu kan semua warga taman.


Juga diharapkan muka muka baru dapat menyertai AJK dalam rombakan baru untuk Tahun 2011 hingga 2012 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini. 

SELAMAT TAHUN BARU 2010.