Ahad, 17 Januari 2010

Memasak Bubur Asyura

Jiran Wanita KRT Taman Intan bersama sama dengan ahli Wanita Umno Taman Intan mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura pada hari Sabtu 16 Januari 2010 bertempat di Dewan Sri Intan, Taman Intan. Aktiviti dilakukan setiap tahun dan telah menjadi aktivit tetap Jiran Wanita.

Aktiviti dimulakan pada jam 9.00 pagi. Kehadiran amatlah menggalakkan walaupun terdapat pandangan yang ianya boleh ditingkatkan lagi jika langkah dan suasana diubah. Yang membanggakan ialah kehadiran ahli KRT Taman Intan yang bukan beragama Islam yang turut membantu dalam penyediaan bubur asyura. Kelihatan ahli berbangsa Cina dan India bersama sama tanpa merasakan sebarang halangan untuk aktiviti ini. Ahli KRT yang hadir dapat dikenali melalui pakaian T-Shirt berwarna kuning.

Selain dari memasak bubur, ada juga disediakan makanan nasi tengahari. Walaupun menu yang simple iaitu gulai kari ikan temenung, ikan goreng dan ulam mentah, ianya amat berselera terutama apabila makan semeja dengan rakan yang lain.

Dua periuk besar bubur dimasak dan diagihkan kepada mereka yang hadir. Semuanya selesai sebelum pukul 1.00 tengahari. Diharapkan di tahun depan lebih ramai ahli dapat hadir untuk menjayakan aktiviti ini.





Sedikit nota dari internet:-
Majoriti umat Islam Malaysia tahu mengenai bubur Asyura. Ada yang menyatakan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas yang terdiri daripada sepuluh jenis bahan termasuk tepung, ubi, pelbagai kekacang dan sebagainya. Apa yang pasti bubur daripada 10 bahan masakan. Kalau lebih atau kurang, itu bukan bubur Asyura. Jenis rasanya mungkin juga berbeza di antara satu negeri dengan negeri lain.
Ada anggapan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas sempena 10 Muharam. Kebetulan perkataan Asyura diambil daripada bahasa Arab iaitu Asyarah yang bermakna 10. Maka ramailah yang bergotong-royong atau bersendirian menyediakan bubur Asyura pada tanggal 10 Muharam.
Ia adalah satu aktiviti masyarakat yang harmoni.
Hakikatnya, bubur Asyura bukanlah satu amalan ibadah yang wajib. Ia hanya sekadar adat tradisi yang tidak mempunyai apa-apa tegahan dalam agama. Cuma ada juga yang terlalu memperbesarkan bubur Asyura hingga seolah-olah ia satu perkara wajib pula.