Rabu, 13 Januari 2010

Mesyuarat AJK Jiran Warga Emas

Mesyuarat pertama AJK Jiran Warga Emas untuk tahun 2010 bermula pada jam 5.30 petang Rabu 13 Januari 2010 diadakan di Dewan Sri Intan, Taman Intan. Seramai sepuluh AJK hadir pada mesyuarat tersebut walaupun Pengerusi En Haris Fadzillah bin Mustafa tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur. Encik Ismail Hashim tidak dapat hadir kerana keuzuran dan mendapatkan rawatan hospital, Puan AinonMd Deris juga berada di Kuala Lumpur manakala tempat Puan Mahani Hashim telah digantikan dengan ahli baru.

Mesyuarat di pengerusikan oleh Setiausaha Jiran Warga Emas. Puan Haminah binti Hj Rejab.  Pengerusi mesyuarat menyampai permohonan maaf dari Pengerusi Jiran Warga Emas kerana tidak dapat bersama. Selepas itu Pengerusi KRT Induk menyampaikan ucapan pendek dan menitikberatkan penglibatan semua ahli dalam kegiatan dan aktiviti KRT. Pengerusi KRT juga menggalakkan AJK mengajak ahli ahli lain untuk menyertai AJK terutama dari kaum Cina dan India.

Perlantikan baru AJK untuk tahun 2010 adalah agenda pertama. Dicadangkan agar jawatankuasa lama dikekalkan dan diterima sebulat suara.

Antara aktiviti yang dirancang oleh Jiran Warga Emas termasuk :-

1.  Pertandingan Laman Cantik

2.  Hari Kesihatan - yang dijadualkan selepas Hari Raya Puasa

3.  Ziarah kepada warga emas yang sakit di Taman Intan

4.  Aktiviti Tetap termasuk berjogging, Wai Tan Kung, Tai Chi dan Lion Dance, berjalan kaki, berbasikal.

5.  Lawatan. Akan diadakan bersama dengan Jiran Wanita.

Beberapa AJK menyuarakan masalah masakini yang dihadapi oleh Taman Intan iaitu kekerapan mengutip sampah oleh MPSP. Difahamkan kerja kerja memugut sampah telah diswatakan. Kebelakangan ini didapati sampah yang berlungguk di luar tong sampah sering dibakar dan menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk.

Juga dipohon untuk mengadakan kursus komputer untuk warga emas terutama untuk melayari internet.

Sebelum bersurai semua AJK dijemput untuk menghadiri majlis bubur Asyura anjuran bersama Jiran Wanita dan Wanita Umno yang akan diadakan pada hari Sabtu 16 Januari 2010 di Dewan Sri Intan mulai jam 09.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.